Had laju di semua jalan Persekutuan akan diturunkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j mulai esok sehingga 2 Februari, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah sementara selama enam hari ini diambil menerusi Op Bersepadu untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
“Sepanjang tempoh itu, kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan tidak kritikal akan dihentikan sementara untuk memastikan aliran trafik tidak terganggu. Sebarang kerja kecemasan pula akan diurus dengan rapi, dan laluan alternatif akan disediakan jika perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengarahkan PLUS untuk menghentikan kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai dari 23 Januari hingga 3 Februari bagi menjamin kelancaran trafik di lebuh raya.
Dalam pada itu, Nanta mengingatkan pengguna jalan raya untuk:
– Berehat secukupnya sebelum perjalanan bagi mengelak keletihan.
– Memastikan baki mencukupi dalam kad RFID dan Touch ‘n Go untuk mengelak kesesakan di plaza tol.
– Memeriksa keadaan kenderaan, khususnya tayar, sebelum memulakan perjalanan jauh.
“Patuhi undang-undang jalan raya, memandu dengan berhemah dan sentiasa bersabar demi keselamatan semua pengguna,” ujarnya.
Usaha ini juga seiring dengan Program MyJalan yang diusahakan Kementerian Kerja Raya untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di negara ini. – JURNAL