Seorang guru besar sebuah sekolah di Beranang tergamam apabila wang berjumlah RM100,000 yang baharu dikeluarkan dari sebuah bank lesap dilarikan penjenayah.
Lebih menyedihkan ialah wang tunai berkenaan merupakan peruntukan bantuan awal persekolahan untuk sekolah terbabit yang sepatutnya diserahkan kepada murid pada hari ini, Selasa.
Difahamkan, wang tersebut dikeluarkan dari sebuah bank oleh pengetua sekolah di pekan Semenyih pukul 10 pagi Isnin, sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.
Difahamkan, wang itu diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan dan kemudian ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.
Namun sebaik sahaja tiba semula di kenderaannya, didapati cermin bahagian penumpang pecah dan wang telah hilang.
Kejadian yang berlaku pada Isnin itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.
Memetik laporan Utusan Malaysia, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Ya kita ada terima laporan polis dan siasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – JURNAL