Grab Malaysia menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM1 juta bagi memenuhi keperluan mendesak penduduk di Gaza yang terkesan akibat kemelut Palestin-Israel yang terus meruncing.
Dalam kenyataan yang dikongsikan di media sosial, platform perkhidmatan e-hailing itu turut memaklumkan orang ramai boleh turut serta menyalurkan bantuan kewangan menerusi aplikasi berkenaan.
“Bagi mengatasi keperluan mendesak yang dihadapi oleh komuniti rentan yang terjejas di Gaza (Palestin), berikutan konflik yang berterusan, Grab Malaysia akan menyumbang bantuan kewangan bernilai RM1 juta melalui MERCY Malaysia.
“Pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha MERCY Malaysia, sekali gus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu yang terjejas,” katanya.
Grab Malaysia dalam kenyataan yang sama turut menyatakan bantuan keperluan yang diberi keutamaan melibatkan penyediaan akses kepada perubatan, makanan, dan bekalan air
Syarikat itu turut mengulangi komitmennya kepada prinsip kemanusiaan dan keamanan, dan secara keras menentang sebarang keganasan yang melanggar hak asasi manusia.
“Selain itu, bermula 8 November 2023 hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin MERCY Malaysia melalui GrabRewards, sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini,” tambah kenyataan itu lagi. – JURNAL