Google telah mengumumkan pelancaran Gemini 2.0, model kecerdasan buatan (AI) terkini yang paling maju.
Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai, menggambarkan model AI ini sebagai permulaan era baharu dalam pembangunan teknologi AI yang canggih. Gemini 2.0 dihasilkan untuk memahami persekitaran, meramalkan langkah seterusnya, dan mengambil tindakan yang sesuai untuk pengguna.
Sundar Pichai menyatakan bahawa model ini akan menjadikan maklumat lebih berguna dan mendekatkan kita kepada visi pembantu universal. Pengumuman besar ini telah mendorong saham Google melonjak lebih empat peratus di Wall Street.
Gergasi teknologi di seluruh dunia kini sedang berlumba-lumba memperkenalkan model AI yang lebih berkuasa, walaupun dengan kos yang tinggi dan persoalan tentang manfaatnya kepada ekonomi secara keseluruhan. Gemini 2.0 membawa fungsi baru sebagai penanda aras ‘Ejen AI’ terkini di Lembah Silikon, yang mampu memahami, membuat keputusan, dan melaksanakan tindakan untuk mencapai matlamat tertentu.
Gergasi teknologi yakin bahawa ejen ini akan menjadi fasa seterusnya dalam revolusi AI, setelah kejayaan ChatGPT pada tahun 2022. Model Gemini 2.0 juga dapat berintegrasi dengan produk Google secara meluas.
Ia akan diperkenalkan kepada pembangun dan penguji terpilih sebelum diintegrasikan dalam produk Google, terutamanya enjin carian dan platform Gemini. Kuasa penuh Gemini 2.0 dijangka akan tersedia dalam aplikasi carian Google pada awal 2025, yang kekal sebagai penyumbang utama pendapatan syarikat itu. – JURNAL