Beregu profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani perlu mula merancang langkah strategik terbaik untuk memacu perjalanan mereka ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Walaupun empat tahun lagi, bekas pemain badminton negara, Goh Liu Ying menegaskan persediaan awal, termasuk latihan intensif, kekuatan mental, serta fizikal, perlu diberi perhatian penuh.
“Sistem kini lebih baik, dan dengan sokongan program seperti Road to Gold (RTG), mereka mampu capai prestasi tertinggi. Mereka perlu pelan dengan teliti, terutama dari segi cara latihan dan sokongan fizikal serta fisioterapi,” kata Liu Ying.
Liu Ying, yang pernah meraih pingat perak di Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon, turut menasihatkan pasangan ini agar mengambil pendekatan langkah demi langkah dalam perjalanan ke LA. Menurutnya, cabaran besar bakal dihadapi termasuk usia dan corak latihan yang semakin mencabar.
Nur Izzuddin-Sze Fei yang baru-baru ini memenangi Terbuka China (Super 1000) akan berusia 31 tahun pada 2028, dan misi mereka untuk layak ke LA28 menjadi keutamaan.
“Peluang layak ke Olimpik bukan mudah kerana hanya dua pasangan bagi setiap negara, dan mereka perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia,” tambah Liu Ying.
Sokongan penuh RTG dan persediaan matang mampu menjadi kunci kejayaan mereka dalam memastikan perjalanan ke temasya Olimpik seterusnya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi bayangan pasangan nombor lapan dunia itu berpeluang untuk diserapkan dalam RTG.
Bagaimanapun keputusan mengenai perkara berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian