Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) kesal dengan reaksi balas Datuk Hattan terhadap pertanyaan penyampai berita wanita dari Astro Awani dalam satu temubual secara langsung, semalam.
Sehubungan itu, GKMM menggesa penyanyi Memburu Rindu itu membuat permohonan maaf secara terbuka susulan sikap tidak profesional dan respon balas berbaur hinaan ketika ditemubual penyampai berkenaan.
“Respon balas dinyatakan Hattan dalam temubual jelas menunjukkan sikap tidak profesional terutama ketika memberi kenyataan kepada media, selain dilihat turut menghina profesion kewartawanan serta stesen media arus perdana negara.
“Sikap tidak hormat ditunjukkan Hattan turut mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pengamal media khususnya kumpulan wartawan, selain dikritik secara terbuka orang ramai di media sosial,” kata GKMM menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
Kenyataan itu turut mendakwa sikap Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shabudin, 59, langsung tidak mencerminkan statusnya sebagai artis senior yang disegani.
“Mengambil kira status sebagai individu terkenal dan artis senior negara, Hattan wajar mengambil tanggungjawab terhadap reaksi balas dari kalangan wartawan dan orang ramai dalam media sosial,” katanya.
Terdahulu, nama Hattan panas dan menjadi bahan perdebatan netizen selepas insiden menempelak penyampai berita Astro Awani kerana mendakwa tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan.
Menerusi rakaman video yang tular, Hattan atau dihubungi oleh penyampai berita wanita menerusi siaran secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan ‘makan dalam’
Soalan diajukan kepada penyanyi Memburu Rindu itu susulan pemergian vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael yang menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor akibat sesak nafas kira-kira jam 8.41 malam kelmarin.
Bagaimanapun, keadaan menjadi agak tegang apabila Hattan bertanyakan semula penyampai berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan itu.
Dalam nada serius, Hattan mengulangi semula soalan dan menegur penyampai berita yang didakwanya tidak membuat persediaan.
Lebih memburukkan keadaan apabila penyampai berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.
Kecewa dengan situasi itu, Hattan sempat ‘sekolahkan’ penyampai berita itu sebelum bertindak mematikan talian.
Susulan kejadian itu, akaun Instagram (IG) Hattan diserang netizen hingga menyebabkannya terpaksa menukar akaun media sosialnya itu kepada privasi. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE