Jenama peralatan tidur terkemuka Malaysia, Getha, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri apabila meraih kemenangan kali kesembilan di World Branding Awards 2024-2025.
Acara berprestij yang berlangsung di Tower of London, United Kingdom pada 25 November lalu itu menyaksikan Getha diiktiraf dalam kategori Perabot – Tilam dan Peralatan Tidur. Lebih membanggakan, Getha menjadi satu-satunya jenama Malaysia dalam kategori ini yang menerima National Tier Award, penghormatan tertinggi kepada jenama yang berjaya mencipta impak luar biasa di negara asal mereka.
Menurut kenyataan syarikat, proses pemilihan pemenang adalah ketat, melibatkan kajian pasaran bebas terhadap 927 jenama dari 66 negara. Hanya kurang daripada 100 jenama terpilih untuk menerima anugerah tersebut.
Pengarah Eksekutif Getha, Yong Mei Tsin, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti dedikasi syarikat terhadap kualiti dan inovasi.
“Anugerah ini mencerminkan komitmen Getha terhadap inovasi, kualiti, dan kelestarian dalam pasaran yang sentiasa berubah. Kejayaan ini mengukuhkan jenama kami di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Selain Getha, jenama Malaysia lain yang turut meraih pengiktirafan adalah PETRONAS, Farm Fresh, MR DIY, dan Munchy’s.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1969, Getha terus maju dengan produk berasaskan lateks semula jadi 100 peratus, dan kini dieksport ke lebih 30 negara. Pencapaian ini menegaskan status Getha sebagai simbol keunggulan Malaysia di pentas dunia. – JURNAL
Sumber: NST