Jumlah penonton perlawanan separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Malaysia menentang juara bertahan, Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini terpaksa dikurangkan.
Ia ekoran wujudnya struktur pentas konsert Jay Chou sekaligus menyaksikan sebanyak 21,000 tempat duduk di ‘rumah’ Harimau Malaya terpaksa dikosongkan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan dan jumlah kehadiran penyokong terpaksa dihadkan berbanding 65,147 penonton yang hadir ketika pertemuan dengan Singapura sebelum ini.
“Hanya sejumlah 59,000 keping tiket yang akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama, Sabtu ini.
“Ini disebabkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.
“Situasi ini tidak dapat dielakkan memandangkan FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan aksi skuad Harimau Malaya tetap dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil berbanding stadium yang berkapasiti lebih kecil.
“Diharap para penyokong terus memberikan sokongan padu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, jam 8.30 malam,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.
Setakat jam 8.30 malam semalam, FAM mengesahkan sebanyak 36,018 keping tiket sudah pun terjual. – JURNAL
Sumber: Kosmo!