Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberikan maklumat sah untuk mengenal pasti dan mendakwa individu bertanggungjawab atas kejadian kejam yang berlaku di Universiti Malaya (UM).
Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin, menyifatkan perbuatan ini sebagai tindakan mengerikan dan melanggar Akta Kebajikan Haiwan Malaysia 2015.
“Kami menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil ke hadapan. Ini bukan sekadar memastikan keadilan untuk haiwan malang, tetapi juga langkah mencegah tragedi serupa di masa depan,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut menekankan keperluan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti sama ada insiden ini berpunca daripada manusia atau interaksi sesama haiwan sesat.
Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) turut melaporkan bahawa selain beberapa kucing, seekor anjing juga ditemui mati dengan diperlakukan jenayah sama.
“Kempen ganjaran ini berkesan dalam menangani kekejaman terhadap haiwan. Contohnya, usaha di Pulau Pinang sebelum ini berjaya menghentikan kejadian keracunan haiwan,” tambah Chin.
SPCA menyeru komuniti UM untuk terus berwaspada dan melaporkan aktiviti mencurigakan. Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat, mereka boleh menghubungi talian 011-51189716 atau menghantar emel ke enquiries@spca.org.my.
Tindakan pantas dan kerjasama daripada orang awam amat penting untuk memastikan keadilan kepada haiwan yang tidak bersalah ini. – JURNAL
Sumber: Berita Harian