Tangga gaji AS$50,000 (RM218,000) sebulan yang diminta oleh bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo, disifatkan terlalu tinggi.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan untuk mempertimbangkan perkara ini dengan lebih teliti jika benar-benar berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman tersebut.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, mengakui bayaran tersebut agak tidak setimpal, apatah lagi jika mengambil kira bahawa Hang Seo berasal dari benua Asia dan buat masa ini tidak mempunyai pasukan untuk dikendalikan.
Menurut Effendi, gaji yang lebih sesuai bagi jurulatih sepertinya adalah sekitar AS$30,000 (RM130,000) sebulan.
“Saya rasa RM218,000 itu terlalu mahal kerana dia pun dari Asia dan kita perlu lihat pencapaian yang dia ada. Kalau sehingga RM218,000, itu terlalu tinggi. Di Vietnam, mereka mampu bayar kerana separuh ditanggung oleh syarikat swasta atau dari Korea Selatan,” jelas Effendi.
“Jika FAM mengambil dia untuk kontrak dua tahun, kita akan membayar lebih RM5 juta hanya untuk gajinya sahaja. Dengan jumlah itu, kita boleh dapatkan jurulatih yang lebih baik dan berkelayakan lebih tinggi dari Eropah. Saya tidak mempertikaikan kebolehannya, tetapi jumlah gajinya itu terlalu tinggi, apatah lagi dia tiada pasukan ketika ini dan mungkin menunggu gaji yang tinggi.”
Effendi turut menambah bahawa setiap jurulatih mempunyai corak permainan masing-masing.
“Hang Seo cemerlang di Vietnam tetapi mungkin dia akan bergelut di sini kerana suasana bola sepak yang berbeza,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa FAM perlu bersedia untuk membayar lebih dua kali ganda daripada gaji bekas pengendali, Kim Pan Gon, jika mereka benar-benar berhasrat untuk mendapatkan Hang Seo.
Gaji Hang Seo lebih tinggi daripada gaji Pan Gon, di mana FAM sebelum ini membayar Pan Gon di bawah AS$20,000 (RM87,000) sebulan semasa beliau mengendalikan pasukan Malaysia.
Memetik laporan portal Vietnam, VN Ekspress, Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) dilaporkan membayar gaji Hang Seo sebanyak RM218,000 sebulan semasa beliau mengendalikan pasukan tersebut selama lima tahun setengah. – JURNAL
Sumber: Berita Harian