Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi perintah supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen yang dirujuk dalam pernyataan pembelaannya dalam kes sama membabitkan kedua-dua pemimpin itu.
Kes saman fitnah itu dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir terhadap Anwar berhubung kenyataan perdana menteri pada ucapan di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada 18 Mac lalu, yang didakwa (Mahathir) menggelarnya sebagai rasis dan memperkayakan keluarganya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr Mahathir ketika dihubungi pemberita hari ini, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain menolak permohonan bekas Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) bagi penzahiran dokumen dengan kos sebanyak RM2,000.
Beliau berkata, hakim membuat keputusan itu dengan alasan bahawa apa yang dinyatakan dalam pembelaan terpinda Anwar adalah mengenai peristiwa yang berlaku pada masa yang lalu, tanpa dinyatakan sesuatu dokumen.
Bagaimanapun sekiranya ada dokumen yang dinyatakan, ia akan menjadi pembelaan (Anwar) dan perlu dikemukakan ketika pengurusan kes di peringkat pra-perbicaraan.
“Secara asasnya, mahkamah menyatakan jika Anwar mempunyai dokumen yang dinyatakan, biar beliau kemukakan pada pengurusan kes sebelum perbicaraan. Beban masih pada Anwar untuk kemukakan (dokumen),” katanya.
Dalam prosiding hari ini, peguam Aliff Benjamin Suhaimi bertindak bagi pihak Anwar.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 14 Jun lalu, Presiden PKR itu mendakwa saman Dr Mahathir bertujuan melemahkan kredibilitinya selaku perdana menteri, selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.
Anwar turut membangkitkan antaranya isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd yang mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat itu pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009, dan isterinya Datin Seri Norzieta Zakaria pemegang saham majoriti dan pengarah syarikat sejak 18 Ogos 1999.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya pada 3 Mei pula, Dr Mahathir sebagai plaintif mendakwa ucapan Anwar itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Beliau turut mendakwa kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.
Bekas pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berkata, kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan ‘berbilion-bilion’, membawa wang itu ke luar negara; dan mengelak untuk membayar cukai.
Katanya, kenyataan Anwar bahawa kononnya beliau hanya membincangkan soal rakyat selepas ‘kehilangan kuasa’ adalah tidak benar yang bertujuan menjatuhkan imejnya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE