Terkenal dengan strategi menampilkan artis popular mempromosikan produk makanan dipasarkan, jenama terkenal Pak Mat Western (PMW) Cafe terus disifatkan sudah berada di tahap ‘another level’.
Selepas menampilkan pelawak dan pengacara Big Stage dari seberang, Rina Nose bercakap loghat Utara di samping bakat cilik, Adik Haziq berbahasa Indonesia, terbaharu ditampilkan pula gabungan pelakon hebat, Yayan Ruhian dan Beto Kusyairy.
Yayan yang juga pelakon bertaraf Hollywood kelahiran Indonesia digandingkan buat kali pertama dengan Beto sekali gus mengembalikan memori kolaborasi mereka dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan terbaharu mereka turut berlakon dalam filem The Original Gangster. Kedua buah filem itu diarahkan Syamsul Yusof.
Gandingan Yayan dan Beto itu juga serentak dengan pelancaran pembungkusan semula produk kambing perap PMW dipanggil Pek Murahdani berharga RM37.90 dengan berat 550 gram diperkenalkan sejak bulan lalu.
Ketua Pegawai Strategi PMW Group, Nurina Izz Zayani berkata kemunculan Yayan dan Beto itu sebagai meneruskan tradisi kemuafakatan Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.
“Persetujuan dicapai oleh kedua- dua artis yang bukan lagi asing sesama mereka. Penggambaran dibuat di sebuah kediaman di Petaling Jaya minggu lalu mengambil tempoh 10 jam.
“Kita juga lihat gabungan dua bakat hebat dua negara ini bukti jenama bumiputera seperti kami tak lupa meraikan mereka yang benar-benar hebat.
“Yayan sendiri bukan pelakon calang-calang. Beliau sudah membintangi banyak filem Hollywood. Yayan paling diingati menerusi wataknya sebagai Tasu Leech dan filem ikonik Star Wars: The Force Awakens. Beliau turut membintangi filem John Wick: Chapter 3, Beyond Skyline, sekuel The Raid, Yakuza Apocalypse, dan lain-lain.
“Dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, watak antagonis Toga terus diingati. Beto pula umum tahu, dia seorang pelakon berjiwa besar dan setiap kemunculannya pasti ditunggu,” kata Nurina Izz.
Jelas Nurina Izz lagi, menyatukan dua nama besar itu juga menjadi kebanggaan jenama berdaftar di bawah syarikat Pak Mat Western Sdn Bhd itu.
“Ada yang anggap gandingan dua bakat serumpun itu sebagai isyarat PMW akan tembus ke negara jiran. Jika ia menjadi kenyataan, sudah tentu kami pasti teruja.
“Namun, sejujurnya, belum ada perancangan ke arah itu dalam masa terdekat. Tapi kami anggap ia permulaan untuk kami terus terbang tinggi dan ‘next level’ selepas lebih empat tahun memperkenalkan makanan sejuk beku atau frozen.
“Paling utama, kami mahu terus mengukuhkan legasi jenama makanan ini yang terkenal dengan tagline Citarasa Hotel, Harga Warong. Inisiatif kami itu tak pernah ternoktah. Harga mampu milik, tapi kualiti premium. Kita mahu sajikan hidangan makanan enak tanpa mengira kasta, kaum dan pangkat,” kata Nurina Izz.
Sebelum ini jenama berkenaan kerap menampilkan artis dan personaliti termasuk Beto, Lisa Surihani, Shukri Yahaya, Hannah Delisha, Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila, Bell Ngasri dan ramai lagi.
Terdahulu video iklan berlatar belakang sekitar era tahun 1980-an menampilkan Yayan dan Beto dilancarkan semalam (Khamis) di YouTube, Facebook, Instagram dan akaun media sosial rasmi PMW. – JURNAL