Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh memaklumkam satu laporan polis akan dibuat terhadap individu yang menyebarkan video tular semalam.
Fuziah yang ketika ini berada di India berkata, pasukannya kini dalam persiapan untuk membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.
“Saya kini berada di India untuk satu lawatan rasmi, pasukan saya (di Malaysia) kini tengah membuat persiapan untuk membuat laporan polis kira-kira pukul 4 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
“Saya dijangka pulang semula ke Malaysia, Ahad ini.” katanya.
Pada masa sama, Fuziah memaklumkan bahawa video berkenaan merupakan rakaman pada Julai lalu yang dibuat ketika berkunjung ke sebuah pasar raya di Langkawi, Kedah.
Jelasnya, rakaman tersebut dibuat sewaktu berhadapan dengan isu RM200 tidak boleh membeli apa-apa barangan.
“Waktu itu, saya buat tinjauan di sebuah pasar raya dan beli sendiri barangan di situ.
“Harganya lebih sedikit berbanding tempat lain yang menjual barangan Jualan Rahmah, namun masih cukup dan boleh penuh bakul dengan wang di bawah RM200. Kenyataan saya dalam video bagaimanapun merujuk kepada situasi ketika itu,” katanya.
Malah, beliau percaya ada dalang yang sengaja menyebarkan video tersebut dan tidak menolak ia bermotifkan politik.
Terdahulu, menerusi rakaman video tular itu, kelihatan Fuziah melakukan tinjauan di sebuah pasar raya bagi memantau harga barang keperluan asas di pasaran dan membeli beberapa barangan untuk membuat penilaian kos.
Antara barangan dibeli ialah minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin dalam tin, tepung gandum, serbuk minuman, bawang dan kentang dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM136.30.
Fuziah kelihatan berpuas hati kerana dapat membeli beberapa barangan keperluan itu pada harga di bawah RM200.
Bagaimanapun, kenyataan Fuziah dalam video itu mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen dan mereka telah meninggalkan pelbagai komen yang berbaur sindiran. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE