Miss Universe Malaysia 2020, Franscisca Luhong baru-baru ini berdepan detik menakutkan apabila diekori lelaki yang sama pernah mengganggunya kira-kira setahun lalu.
Menerusi Instagram, Francisca berkongsi pengalaman tersebut ketika berada di sebuah hotel sekitar Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
“Selepas temu janji di spa, sewaktu keluar dari lif menuju ke lobi, saya ternampak lelaki itu sekali lagi.
“Orang yang sama, pakaian pun sama. Bezanya cuma kain yang disangkut di bahunya. Lebih menakutkan, saya rasakan dia ada mencalit sesuatu kelihatan seperti minyak di leher,” katanya.
Francisca kemudian bergegas masuk ke dalam sebuah kafe di situ, namun lelaki terbabit tetap mengekorinya.
Bahkan dengan selamba dan bersahaja duduk berdepan dengan mejanya sebelum dibawa keluar oleh pengawal keselamatan.
Mahu orang lain berwaspada, Francisca turut berkongsi gambar lelaki berkenaan yang memakai jubah putih dan lengkap berkopiah serta kain selempang di bahu. – BOOM!