Putera Mahkota Jordan, Hussein Abdullah selamat bernikah dengan arkitek Arab Saudi, Rajwa Al Saif, dalam satu majlis perkahwinan yang dihadiri kerabat diraja seluruh dunia, pada Khamis.
Upacara perkahwinan serba mewah dan gilang-gemilang itu berlangsung di Istana Zahran, istana zaman pertengahan di ibu kota Amman, iaitu lokasi yang menjadi perkahwinan bonda serta ayahandanya kira-kira 30 tahun lalu.
Putera Hussein yang merupakan pewaris takhta Jordan melangsungkan perkahwinan dengan Rajwa selepas bertunang pada Ogos lalu.
Sedikit info tentang Putera Hussein dan Puteri Rajwa yang menarik untuk dikongsi:
* Pengantin perempuan yang memakai gaun putih yang elegan, tiba di Istana Zahran dalam Rolls-Royce Phantom V 1968 yang ditempah khas.
* Putera mahkota tiba lebih awal dengan pakaian seragam tentera penuh istiadat dan pedang bertali emas.
* Putera Mahkota, Putera Hussein, anak lelaki sulung Raja Abdullah II dan Ratu Rania.
* Rajwa, warga Arab Saudi, anak bongsu ahli perniagaan Saudi, Khalid al-Saif.
* Rajwa juga mempunyai darah diraja kerana ibunya adalah sebahagian daripada keluarga Al Sudairi, keluarga pemerintah Arab Saudi.
* Rajwa ialah sepupu kedua Putera Mahkota Saudi, Mohammed Bin Salman.
* Kali terakhir perkahwinan diraja sebesar ini berlangsung ialah pada tahun 1997 apabila Raja Abdullah II, yang ketika itu putera mahkota, berkahwin dengan Rania Al-Yassin, wanita berketurunan Palestin yang dilahirkan di Kuwait. Selain Hussein, pasangan itu mempunyai tiga lagi anak: Puteri Iman, 26, yang berkahwin dengan Jameel Alexander Thermiotis, seorang ahli perniagaan Venezuela berketurunan Greek dalam majlis sederhana pada Mac; Puteri Salma, 22; dan Putera Hashem, 18.
* Sebagai sebahagian daripada perayaan minggu lalu, Ratu Rania menganjurkan pesta berinai mewah untuk bakal menantunya dan ratusan wanita di Madareb Bani Hashem, di mana beliau menyampaikan ucapan alu-aluan yang meriah.
* Dalam masa yang sama, ribuan anak muda Jordan menghadiri konsert percuma bertajuk “We Rejoice in Hussein” di Stadium Antarabangsa Amman. Konsert itu menampilkan persembahan daripada artis Arab terkemuka seperti Tamer Hosny, Ahmed Saad, Ragheb Alama, Zain Awad, dan Diana Karazon.
* Malam sebelum perkahwinan, pada 31 Mei, lebih 4,000 tetamu menyertai keluarga diraja untuk majlis makan malam yang akan mempamerkan budaya pemerintah Arab Hashemite Jordan.
* Majlis akad nikah berlangsung di Istana Zahran di Amman dan majlis resepsi di Istana Al Husseiniya.
Majlis perkahwinan diraja kali ini dihadiri kira-kira 140 tetamu, termasuk kerabat diraja daripada keluarga Bani Hashim dan ketua negara lain. Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden serta isterinya, Jill Biden berkongsi ucapan tahniah di media sosial.
Antara tetamu yang hadir termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dari Malaysia; Raja Juan Carlos I dan Permaisuri Sofia dari Sepanyol; Putera Sebastien (Luxembourg); Putera Mahkota Frederik dan Puteri Mahkota Mary (Denmark); Puteri Mahkota Victoria (Sweden) dan Puteri Takamado dan anak perempuannya, Puteri Tsuguko (Jepun). – JURNAL