Fenomena astronomi yang jarang berlaku bakal mencuri tumpuan peminat falak apabila tujuh planet dijangka muncul sebaris di angkasa pada 25 Januari ini. Kejadian unik ini turut menambah keistimewaan sambutan Israk Mikraj bagi umat Islam yang diraikan dua hari selepasnya.
Menurut pakar falak tempatan, fenomena nadir ini hanya terjadi empat hari sebelum kemunculan anak bulan baharu yang biasanya dirujuk sebagai Syaaban dalam kalangan Muslim.
Penduduk hemisfera utara dijangka dapat melihat enam planet, iaitu Marikh, Musytari, Uranus, Neptun, Zuhrah, dan Zuhal tersusun dalam barisan. Namun, ada laporan mengatakan mereka yang berada di hemisfera selatan berpeluang menyaksikan tambahan satu planet, iaitu Utarid.
Berita mengenai fenomena ini tular di media sosial dengan ramai pengguna teruja menyaksikan peristiwa yang jarang berlaku. Kebiasaannya, hanya tiga planet sahaja dapat dikesan dalam formasi sebegini pada masa yang sama.
“Meskipun Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal boleh dilihat dengan mata kasar, penggunaan teleskop atau binokular disarankan untuk mendapatkan imej lebih jelas,” jelas seorang pakar falak.
Pemerhati dinasihatkan memilih lokasi lapang dengan penglihatan langit yang jelas untuk mengamati fenomena ini. Kemunculan planet sebaris tersebut pasti menjadi pengalaman yang memukau bagi peminat astronomi dan pencinta langit malam. – JURNAL
Sumber: Kosmo!