Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr Ahmad Nawab atas penerimaan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
Melalui ciapan di Twitter, Fahmi berkata, gelaran Tan Sri yang dikurniakan kepada Ahmad Nawab sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah suatu penghormatan.
“Tahniah buat komposer terkenal, Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan (Ahmad Nawab).
“Beliau antara penerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.
“Suatu penghormatan yang besar buat anak seni tanah air. Syabas Tan Sri Ahmad Nawab, katanya.
Ahmad Nawab dalam kalangan 839 tokoh dan individu yang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2023 daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Maestro muzik ini mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an.
Ahmad Nawab melahirkan nama besar dunia seni suara seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram. – JURNAL