Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memuji semangat kental pelakon veteran Ebby Yus yang masih mahu berkarya walaupun baru keluar dari hospital.
Fahmi berkata, Ebby Yus, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, mempunyai semangat yang tinggi.
“Biarpun baru keluar dari hospital awal bulan ini, pelakon itu menunjukkan semangat yang kental untuk terus berkarya,” katanya.
Fahmi juga berjanji untuk membantu Ebby yang mengalami masalah kesihatan seperti buah pinggang dan jantun, diberi peluang menerbitkan program sesuai dengan kebolehan dirinya.
Tambah Fahmi, bukan didorong faktor pilih kasih, sebaliknya, Ebby layak mendapat peluang menerbitkan program kerana dirinya berbakat.
“Kita akan bincang apa yang boleh diusahakan sama ada melalui Finas atau Jabatan Penyiaran serta perkara yang boleh diikhtiarkan,” katanya.
Sehubungan itu, selain Ebby, Fahmi mahu membantu penerbit dan pembikin filem mendapatkan sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) dalam menghasilkan kandungan agar nasib penggiat seni veteran tidak terabai.
“Sebelum ini, timbul persepsi mendakwa industri filem dan produksi kita dikuasai kartel.
“Jadi, saya ingin menghancurkan mitos itu. Saya mahu pastikan lebih ramai penerbit dan pembikin filem berbakat dan layak mendapat peluang,” katanya selepas menziarahi Ebby di kediamannya di Kampung Baru, pada Ahad.
Semasa kunjungan itu, Fahmi menyampaikan sumbangan Finas dan peribadi beliau kepada Ebby Yus.
Ebby Yus, yang menderita pelbagai penyakit termasuk lemah jantung, buah pinggang, kencing manis dan masalah saraf, pula berkata beliau sangat menghargai keprihatinan Fahmi yang sudi menziarahinya di rumah.
Katanya beliau masih ingin bekerja selagi terdaya dan jika keadaan kesihatan mengizinkan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi dijangka mengumumkan penambahbaikan Dana Kandungan Digital menjelang Hari Seniman Negara bulan depan.
@jurnal.malaysia Teruskan berkaya Ebby Yus! Industri masih perlukan bakat anda!👍🏻 #jurnal #jurnalmalaysia #news #breakingnews #hit #portal #sensation #viral #trending #viral #fahmifadzil #ebbyyus ♬ original sound – Jurnal Malaysia
Beliau berkata ia bertujuan memastikan dana itu dimanfaatkan sepenuhnya bukan hanya menghasilkan karya yang disegani tetapi juga pengkarya dan pelakon termasuk golongan veteran dapat terlibat dalam proses penghasilan karya tersebut.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan RM102 juta disediakan untuk Dana Kandungan Digital bagi mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.
Ditanya mengenai pengagihan dana itu, Fahmi berkata tiga agensi utama akan bertanggungjawab iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) dan MyCreative Ventures.
“Mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan ketiga-tiga agensi itu,” katanya sambil menambah agensi terbabit mempunyai skop dan bidang tugas berbeza. – JURNAL