Bersempena dengan cuti sekolah penggal kedua, Hari Malaysia dan Maulidur Rasul, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan untuk laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya.
Menurut kenyataan KTMB, perkhidmatan tren tambahan ini akan bermula dari 13 hingga 22 September untuk memenuhi permintaan penumpang yang meningkat semasa musim cuti, selain mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
Sebanyak 630 tiket sehari ditawarkan, dengan jumlah keseluruhan 6,300 tiket termasuk koc kelas perniagaan.
Tiket-tiket ini boleh dibeli bermula Jumaat, 6 September, pada pukul 10 pagi.
“Jadual tren ETS tambahan dari Padang Besar ke KL Sentral adalah pada pukul 11.05 pagi dan tiba pada 4.30 petang, manakala perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar akan berlepas pada pukul 5 petang dan tiba pada 10.20 malam,” menurut kenyataan itu.
KTMB juga menggalakkan orang ramai untuk membeli tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, App Store, dan App Gallery, atau menerusi laman web rasmi KTMB. – JURNAL