Tabiat menghidu ‘energy stick’ yang mulai popular pada masa ini seolah-olah mengajak anak muda menghampiri dengan perbuatan salah laku dadah sebab ia antara kaedah dalam penyalahgunaan dadah.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, adalah wajar sebagai ibu bapa dan masyarakat di sekeliling anak muda, bertindak menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengambil tindakan kepada penjual atau sesiapa yang mempromosikan barang ala barangan terlarang itu sebelum ia berleluasa.
Menurutnya, satu talian untuk melaporkan kejadian penjualan produk itu perlu diwujudkan supaya ia dibanteras lebih awal sebelum teruk merebak.
“Pada masa sama pihak yang berwajib perlu mendedahkan bukti kesan sampingan buruk produk ‘energy stick’ bagi menguatkan desakan untuk membanteras aktiviti penjualan produk itu.
“Kita tidak pasti apa kandungan dalam bahan kimia yang mungkin akan merosak sel badan pada jangka masa yang panjang seperti nikotin dalam asap rokok.
“Di samping itu, peranan kita orang dewasa yang lebih matang memberikan informasi kepada anak-anak muda untuk mencegah pembelian produk itu malah wajar melaporkan jika terlihat penjualannya,” katanya.
Beliau berkata, ‘energy stick’ yang mengetengahkan slogan ‘sedut dahulu baru pergi sekolah’ dan ‘sedut dulu baru mula kerja’ jelas adalah teknik untuk menjual barang itu di pasaran untuk meraih keuntungan tanpa mempedulikan kesan kepada pengguna dari aspek kesihatan dan risiko tingkah laku tidak bermanfaat.
Sementara itu, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya Prof Madya Dr Adelina Asmawi berkata, timbul kebimbangan apabila produk yang dijual murah itu ditujukan terutamanya kepada murid sekolah dengan risiko ketagihan.
“Apa yang merunsingkan adalah ada juga ibu bapa yang tidak tahu akan kewujudan produk sebegini. Apabila ia menjadi satu trend dalam kalangan murid sekolah, pastinya ramai dalam kalangan golongan itu yang ingin mencuba dan membeli.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga perlu peka dengan produk seumpamanya yang dijual terutama menerusi jualan dalam talian.
“Produk yang bakal merosakkan kesihatan tubuh badan dan minda sepatutnya dilarang sama sekali dijual dalam kalangan murid sekolah,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) berkata, produk sedemikian tidak membantu dalam pembinaan modal insan diperlukan dalam bidang pendidikan negara. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO