Seorang pelajar dari Kota Belud, Sabah telah menfailkan saman terhadap bekas guru bahasa Inggerisnya yang didakwa ponteng selama tujuh bulan pada 2018.
Siti Nafirah Siman, bekas pelajar SMK Taun Gusi bertindak sebagai plaintif dan menamakan defendan-defendan berikut Mohd Jainal Jamrin (bekas gurunya), Suid Hanapi (atas kapasitinya sebagai pengetua sekolah), Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia.
“Pada tahun 2015, saya adalah salah seorang pelajar Tingkatan 4 Perdagangan yang menjadi mangsa kepada guru Bahasa Inggeris kami yang tidak masuk ke kelas kami dari bulan Februari sehingga bulan Oktober.
“Saya dan rakan-rakan berasa sangat terganggu ketika itu kerana takut gagal dalam peperiksaan. Kami mahu belajar.
“Kami sentiasa menunggu guru Bahasa Inggeris kami tiba dan masuk ke kelas untuk mengajar. Dia hanya masuk sebelum peperiksaan tahun akhir bermula, setelah berbulan-bulan meninggalkan kami,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh laman sesawang Tiada.Guru.
Perbicaraan telah ditetapkan selama lima hari dari 15 Mei hingga 19 Mei di hadapan hakim Datuk Ismail Brahim.
Difahamkan bahawa kes ini sudah lama tergantung disebabkan pandemik. Perbicaraan terakhir adalah pada September 2022, tetapi ia ditangguhkan selepas Nafirah memberitahu mahkamah bahawa dia mahu menukar peguam untuk mewakilinya.
Sementara itu, tiga lagi bekas pelajar – Rusiah Sabdarin Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung, kini berusia 22 tahun, memfailkan saman serupa pada November 2020.
Kes mereka telah dibawa ke perbicaraan dan keputusan dijangka dibuat pada 18 Julai. – JURNAL