Kawasan Hutan Simpan Kekal Sokor Taku di Mukim Sokor Ulu Kusial mengukir sejarah baharu apabila mineral emas pertama berjaya ditemui di kawasan seluas 547 hektar yang telah diteroka lebih setahun. Penemuan ini disahkan selepas ketulan emas pertama dihasilkan di tapak berkenaan pada Khamis.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Niche Capital Emas Holdings Berhad, Ir Tan Ken Sim, kajian awal di kawasan ini telah mengesan sekitar 17,100 auns sumber emas.
“Setakat ini, kajian hanya meliputi kawasan lapan hektar daripada keseluruhan tanah. Kami merancang untuk teruskan penerokaan di seluruh kawasan ini,” kata Tan kepada pemberita ketika sesi tinjauan di lokasi perlombongan.
Penerokaan dan proses perlombongan di kawasan ini telah melibatkan pelaburan sebanyak RM50 juta, termasuk kos pembersihan, penyediaan infrastruktur, serta peralatan khas. Kerja-kerja pencarian emas juga dikendalikan dengan pemantauan rapi oleh Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan, dan mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Tan juga menegaskan bahawa setiap proses perlombongan mengikuti piawaian ketat bagi menjaga kelestarian alam di kawasan terbabit.
“Pengeluaran emas pertama ini menunjukkan hasil usaha kami selama setahun melalui pelbagai kaedah pencarian dan pemprosesan,” ujarnya.
Walaupun penemuan emas baru bermula, syarikat ini menyasarkan untuk menghasilkan enam hingga 12 kilogram ekstrak emas setiap bulan.
“Selain itu, kami akan meneroka dua lagi kawasan seluas 373 hektar dan 910 hektar, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan perlombongan di Ulu Kusial seluas 1,830 hektar dengan pajakan daripada kerajaan negeri selama 12 tahun,” tambahnya. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian