Jutawan teknologi, Elon Musk, mengumumkan akan memberikan hadiah sebanyak $1 juta sehari kepada pengundi berdaftar di negeri-negeri utama menjelang pilihan raya presiden AS pada 5 November.
Inisiatif ini dijalankan melalui kempen kumpulan AmericaPAC yang ditubuhkan Musk untuk menyokong calon Republikan, Donald Trump, kembali ke Rumah Putih.
Pemenang dipilih secara rawak daripada mereka yang menandatangani petisyen pro-Perlembagaan AS anjuran AmericaPAC. Cek pertama diberikan kepada seorang peserta di acara town hall di Pennsylvania pada Sabtu malam, diikuti dengan cek kedua pada Ahad.
Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro, seorang Demokrat yang menyokong Kamala Harris, menyuarakan kebimbangan terhadap strategi Musk ini, malah menggesa pihak berkuasa menyiasat pembayaran tersebut.
Kempen ini terbuka kepada pengundi di negeri-negeri seperti Pennsylvania, Georgia, Nevada, Arizona, Michigan, Wisconsin, dan North Carolina iaitu kawasan penting yang akan menentukan keputusan pilihan raya.
Pakar undang-undang pilihan raya, Rick Hasen, menyatakan tawaran Musk ini berpotensi melanggar undang-undang persekutuan. Menurut undang-undang AS, sesiapa yang membayar atau menawarkan bayaran untuk pendaftaran atau undi boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau penjara lima tahun.
Walaupun Musk meminta pengundi menandatangani petisyen, Hasen menegaskan bahawa hanya pengundi berdaftar di negeri ‘swing’ yang boleh menandatangani, menjadikannya berpotensi melanggar undang-undang.
Mereka yang menandatangani petisyen itu juga perlu mengemukakan butiran peribadi mereka, membolehkan AmericaPAC menghubungi mereka mengenai pilihan mereka. Di Pennsylvania, Musk menawarkan $100 untuk setiap tandatangan, ditambah $100 lagi bagi setiap rujukan baru.
Walau bagaimanapun, strategi ini mungkin dilindungi oleh undang-undang kerana tiada siapa yang dibayar secara langsung untuk mengundi, walaupun wang diperkenalkan dalam proses untuk mengenal pasti pengundi yang cenderung menyokong Trump.
Trump, ketika ditanya mengenai tawaran Musk, menyatakan beliau tidak mengikuti perkembangan itu, namun mengakui Musk sebagai “rakan”.
AmericaPAC, yang dilancarkan oleh Musk pada Julai, kini menjadi salah satu penyokong utama kempen Trump. Musk telah menyumbang $75 juta kepada kumpulan ini, yang bertujuan untuk mendapatkan tandatangan satu hingga dua juta pengundi di negeri-negeri utama dalam sokongan terhadap Pindaan Pertama dan Kedua Perlembagaan AS. – JURNAL
Sumber: BBC