Umum mengetahui Elon Musk baru-baru ini membuat penjenamaan semula jenama Twitter kepada X.
Susulan itu Elon Musk juga dilihat telah memasang huruf “X” gergasi di ibu pejabat Twitter yang terletak di San Fransisco.
Bagaimanapun tindakan Elon Musk mengundang padah apabila dia didakwa tidak memohon permit untuk pemasangan tersebut.
Malah, pihak berkuasa bandar itu juga sedang menyiasat kerja-kerja pemasangan logo gergasi tersebut yang didakwa tidak mempunyai permit keselamatan, lapor USA Today.
Isnin lalu, polis San Fransisco turut menghentikan pekerja yang sedang menanggalkan logo burung daripada bangunan itu kerana risiko keselamatan yang gagal dipenuhi.
Pertukaran logo pada bangunan itu berlaku selepas Elon Musk membuat penjenamaan semula ke atas laman sosial Twitter yang kini dikenali sebagai X.
Elon Musk turut berkongsi video, memaparkan wajah baharu ibu pejabat syarikat itu menerusi ciapan di Twitter miliknya. – JURNAL