Seramai 2,660 pegawai masjid dan surau di Selangor menerima kenaikan elaun bermula 25 Oktober ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 760 imam akan menerima bayaran bulanan yang ditingkatkan dari RM1,300 ke RM1,500 sebulan yang akan diselaraskan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Katanya, elaun 1,900 nazir, bilal, dan siak pula akan ditingkatkan sebanyak RM50 sebulan kepada RM300 untuk nazir, RM340 bagi bilal, serta RM290 untuk siak.
“Secara keseluruhan, pemberian insentif ini adalah penambahan sebanyak RM2,964,000 dan akan diperuntukkan secara tahunan sebagai ikhtiar Kerajaan Negeri dalam menggerakkan syiar Islam di Selangor,” katanya pada sidang media khas di Foyer SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan insentif pertanian Kita Selangor sebagai langkah membantu komuniti petani dan pesawah serta memberi insentif supaya kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.
Katanya, kerajaan negeri akan memberikan RM1,000 kepada 500 pengusaha dalam bidang tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani serta nelayan.
“Pemberian ini akan dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500 manakala baki RM500 akan diberikan dalam menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah dan akan mula diserahkan pada 31 Oktober ini melalui kerjasama pihak Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad,” katanya.
Sementara itu, bagi meringankan beban kewangan, kerajaan Selangor akan mengecualikan cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan rumah kampung untuk tempoh penggal kedua iaitu dari 1 Julai sehingga 31 Disember 2023.
“Ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM29.41 juta (RM29,415,672.50) kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan.
“Bantuan secara bersasar ini diharapkan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO