Jabatan Imigresen (Imigresen) akan membuka cawangan pejabat pasport yang baharu di Shaftbury Mall di Presint 1, yang dijangka beroperasi sepenuhnya tiga bulan lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu adalah sebagai satu ikhtiar baharu Imigresen kepada rakyat dan masyarakat sekitar untuk mendapatkan pasport dengan lebih cepat.
“Kita menjangkakan pembukaan cawangan baharu ini dapat memudahkan komuniti sekitar Serdang, Sungai Besi, Dengkil, Cyberjaya dan Cheras.
“Ia sekali gus dapat mengurangkan kesesakan waktu puncak khususnya di ibu pejabat Imigresen di Putrajaya,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Imigresen 2023, hari ini.
Beliau berkata, proses pembukaan itu kini berada dalam fasa akhir untuk disiapkan dan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan lagi.
Katanya, sebelum ini, Imigresen sudah membuka cawangan pertama pejabat urusan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bagi mengatasi isu kesesakan di pintu masuk negara.
“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, Imigresen mengeluarkan 1,613,751 pasport yang mana 68,416 pasport telah diproses dan dikeluarkan di ibu pejabat Imigresen di Putrajaya dengan purata 400 keping sehari,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Imigresen akan membuka pusat sehenti menjalankan proses verifikasi permohonan dalam Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bermula dari 15 Ogos ini.
“Pusat sehenti itu akan disediakan bertujuan untuk melakukan verifikasi dan pengesahan kepada pemohon yang memohon dalam program RTK.
“Pusat sehenti verifikasi permohonan RTK ini akan dibuka di beberapa lokasi terpilih kawasan Lembah Klang bermula daripada ibu pejabat Imigresen Putrajaya.
“Pembukaan pusat sehenti seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat di lokasi-lokasi terpilih yang akan diumumkan Imigresen dari semasa ke semasa.
“Dengan kaedah ini majikan yang hendak berurusan proses verifikasi pekerja asing yang mahu digaji mereka boleh bermanfaat menerusi pusat sehenti ini dengan hanya perlu ‘walk in’ tanpa menunggu proses temu janji,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE