Ebit Irawan Ibrahim Lew atau dikenali Ebit Lew memperoleh perintah injunksi interim bagi menghalang penyanyi rap, Caprice dan pempengaruh media sosial, Mondy Tatto daripada mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan berbentuk ugutan terhadap pendakwah terkenal itu.
Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Oktober lalu, terhadap Caprice atau Ariz Ramli serta pempengaruh media sosial terbabit atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda yang berasal dari Indonesia.
Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua individu berkenaan untuk memadam satu rakaman di laman YouTube Nustix.com The Podcast Show serta lima video di Instagram penyanyi rap itu dalam tempoh 24 jam selepas perintah injunksi sementara dikeluarkan.
Menurut penyataan tuntutan difailkan sebelum ini, Ebit Lew selaku plaintif memaklumkan mula mengenali Mondy ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia, 7 Jun lalu.
Ketika itu, wanita berkenaan sebagai defendan kedua memperkenalkan diri sebagai ibu tunggal dan gelandangan kepada Ebit Lew.
Pada 12 Jun lalu, Mondy berkunjung ke Malaysia bagi mempelajari dan mendalami agama Islam di Ma’ahad Ad-Dirasaatil Islamiyyah, Sri Petaling, Shah Alam.
Bagaimanapun, pendakwah terkenal itu difahamkan bahawa Mondy mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembelajarannya dan pulang ke Indonesia pada Julai lalu.
Pada 15 September lalu, Caprice memuat naik rakaman video yang mana pempengaruh media sosial itu dijadikan sebagai tetamu jemputan.
Rakaman itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Plaintif mendakwa, Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.
Banyak komen negatif, cacian dan makian didakwa dikeluarkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice akibat penerbitan video itu.
Plaintif turut mendakwa, kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Caprice dan Mondy menyebabkan dirinya dikecam, diejek dan diaibkan.
Pada 29 September lalu, polis dilaporkan akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan Ebit Lew, Mondy Tatto serta Caprice.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata pihaknya sudah mengambil 10 keterangan termasuk daripada tiga individu berkenaan.
Sebelum ini, Mondy dan Caprice membuat laporan polis berhubung gangguan seksual yang didakwa dilakukan seorang pendakwah bebas terhadap wanita itu.
Ebit Lew kemudian membuat laporan penafian berserta laporan fitnah di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE