Dua kakitangan sebuah sekolah di Semenyih antara tiga individu yang dipanggil polis untuk merakamkan keterangan berhubung kes samun melibatkan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 pada Isnin lalu.
Manakala seorang lagi individu merupakan pekerja sebuah restoran berhampiran kejadian itu berlaku.
BACA: Guru Besar Singgah Beli Air – RM100,000 Bantuan Persekolahan Lesap Dilarikan Penjenayah
Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk S Sasikala Devi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan polis sudah merakamkan keterangan kesemua mereka.
“Kita telah merakamkan keterangan tiga individu dalam siasatan.
“Kita juga akan memanggil pihak bank untuk membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, anggota polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, tetapi masih belum mendapat sebarang petunjuk jelas.
“Kita berharap mereka yang mempunyai maklumat akan turut tampil untuk membantu siasatan,” katanya.
Isnin lalu, BAP berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan guru besar berkenaan dari sebuah bank di Semenyih, dilarikan oleh penjenayah.
Wang BAP itu sepatutnya akan diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa lalu.
Wang terbabit diletakkan dalam dalam sebuah beg, sebelum ditinggalkan dalam kereta untuk membeli minuman.
Guru berkenaan kemudian mendapati cermin keretanya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai dicuri.
Satu laporan polis dibuat pada pukul 12.17 tengah hari oleh guru besar berusia 50 tahun dari sebuah sekolah rendah di Semenyih. – JURNAL