Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengesahkan dua pelajar mereka yang juga pasangan suami isteri, terkorban akibat serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin, kelmarin.
Turut terkorban, empat orang anak termasuk lebih 20 orang lagi ahli keluarga mereka.
Mangsa, Mohammed J H Alzaanin baru saja selesai menjalani sesi viva di USIM pada 5 Julai lalu, manakala isterinya Kholoud M H Elzaneen dijadualkan menduduki ujian sama pada 23 Oktober ini.
USIM dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook rasminya, lewat malam tadi, berkata perkara itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H M Mahariq.
“USIM melahirkan rasa dukacita atas pemergian dua siswazah dan lebih 20 ahli keluarga mangsa akibat serangan bom rejim zionis di Gaza, Palestin, pada pagi Ahad lalu.
“Salam takziah daripada seluruh warga USIM. Moga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang beriman,” menurut kenyataan itu.
https://www.facebook.com/100064975680504/posts/pfbid0uQsxALAXxw2QTumnRnXYyFxdSTrFg2zR4ssd5wiSxU3wpVG9xKDYJA1Pn8uDVe3jl/?mibextid=cr9u03
USIM dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa serangan bom itu berlaku di perkampungan didiami mereka di Bait Hanon, kira-kira jam 8 pagi Ahad lalu.
“Dalam kejadian itu, hanya seorang anak mangsa dilaporkan terselamat.
“Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Badereddin Seyam, 20 ahli keluarga mangsa turut terkorban,” katanya.
Dalam pertempuran yang semakin memuncak sejak Sabtu lalu, jet tentera Israel terus mengebom kawasan Palestin di Gaza. – JURNAL