Dua anggota polis yang cedera parah ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, semalam, dilaporkan dalam keadaan stabil.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika Unit Pemusnah Bom sedang bertugas di tapak perumahan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).
Mangsa pertama, seorang lelaki berumur 34 tahun, mengalami patah tulang rusuk dan paha kiri, manakala mangsa kedua, berumur 39 tahun, mengalami patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk kiri.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut,” kata Bahrin dalam kenyataan rasmi.
Semalam, media melaporkan dua anggota Unit Pemusnah Bom Polis Johor yang terbabit dalam insiden tersebut dikenali sebagai Koperal Abd Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary.
Bahrin turut memaklumkan bahawa pada jam 8.50 pagi, anggota Balai Polis Renggam menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan penemuan bom lama di lokasi kejadian.
Berikutan itu, pasukan polis dari Unit Pemusnah Bom Cawangan Persenjataan IPK Johor dan IPD Kluang dikerahkan ke lokasi untuk memusnahkan bom berkenaan.
Namun, pada jam 2.20 petang, Pusat Gerakan Daerah (DCC) IPD Kluang menerima panggilan MERS 999 yang melaporkan kejadian tanah runtuh di lokasi penemuan bom.
Hasil siasatan awal mendapati runtuhan tanah di lokasi pemusnahan bom menyebabkan dua anggota tersebut tertimbus dan mengalami kecederaan serius. – JURNAL
Sumber: Berita Harian