Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) menyatakan bahawa isu berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) telah dibawa kepada perhatian pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi penguat kuasa, namun tiada tindakan diambil.
Menurut Dr Maza, isu ini mula mendapat perhatian selepas beberapa kajian mengenai GISB diketengahkan kepada pihak bertanggungjawab, namun tiada tindakan susulan dilakukan.
Dalam perkembangan terbaru, Dr Maza telah menghantar surat kepada pemimpin GISB untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu ini, dan pemimpin utama syarikat tersebut dikatakan telah bersetuju untuk hadir.
“Hari ini (semalam), kami telah menghantar surat kepada pemimpin mereka untuk datang ke Perlis pada 20 haribulan. Mereka bersetuju untuk hadir,” kata Dr Maza dalam satu hantaran di TikTok @promediatajdidofficial.
Kenyataan ini muncul selepas tindakan penguatkuasaan besar-besaran oleh polis dan beberapa agensi lain pada Rabu lalu, yang menyerbu 20 rumah amal kendalian Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH).
Serbuan tersebut menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, selain menahan 171 petugas serta pekerja termasuk beberapa ustaz. – JURNAL
Sumber: PROmediaTAJDID