Kementerian Kesihatan (KKM) mesti menunjukkan perkembangan berterusan terhadap usaha menangani isu doktor kontrak, dengan setidak-tidaknya memperkenalkan pembaharuan yang boleh menampakkan komitmen kerajaan.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sebenarnya adalah mustahil untuk kerajaan memenuhi seluruh permintaan pegawai kontrak dalam perkhidmatan kesihatan, namun amat buat KKM untuk memastikan ada kemajuan terhadap usaha menangani isu itu yang sudah berbangkit sekian lama.
Menceritakan apa yang beliau lakukan ketika memegang portfolio itu, Khairy berkata, beliau antara lain mewujudkan 4,053 jawatan tetap membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya memastikan akan ada 1,500 lantikan tetap tambahan setiap tahun.
Selain itu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau juga memperjuangkan kemudahan tugas khas seperti cuti barah, cuti tibi dan mengesyorkan pemberian tambang khas kepada pegawai kontrak yang mengunjungi wilayah asal.
“Saya juga berjumpa dengan kumpulan doktor, termasuk Hartal Doktor Kontrak dan sebagainya yang terbabit membuat tuntutan kepada saya ketika saya menjadi Menteri Kesihatan.
Saya tidak mahu kata saya telah menyelesaikan masalah ini tetapi apa doktor muda, doktor junior dan doktor kontrak nak lihat adalah ke arah penyelesaian.
“Saya rasa tuntutan itu mungkin tuntutan yang besar. Contohnya, mereka nak semua doktor kontrak diserapkan secara tetap (dalam perkhidmatan). Saya rasa itu mustahil dan waktu saya Menteri Kesihatan pun saya katakan itu mustahil untuk kita serapkan semua doktor kontrak sebagai doktor tetap.
“Tetapi, apa yang telah saya buat adalah menunjukkan bahawa terdapat kemajuan. Tunjuk bahawa ada kemajuan. Saya tahu anda tidak boleh memenuhi 100 peratus tuntutan mereka.
“Jadi apa yang saya telah saya buat adalah saya memperjuangkan supaya ada pelantikan atau ada kewujudan jawatan tetap baharu waktu saya menjadi Menteri Kesihatan,” katanya dalam program bual bicara Keluar Sebentar, yang disiarkan menerusi laman Youtube, hari ini.
Mengulas lanjut lebih 4,000 perjawatan tetap yang diwujudkan ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan, Khairy berkata, ia tidak pernah berlaku sejak 2016, namun bekas Ketua Pemuda UMNO itu tetap berjuang untuk menangani isu berkenaan.
Katanya, langkah itu tidak menyelesaikan masalah lebih 10,000 doktor kontrak dalam perkhidmatan kesihatan awam, namun usaha itu sekurang-kurangnya ibarat `masih ada sinar di hujung terowong’ buat golongan terbabit.
“Saya telah berjuang. Saya kata JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), sudah hampir lima tahun tidak diwujudkan satu pun jawatan tetap kecuali jawatan untuk fasiliti baharu atau jawatan untuk menggantikan mereka yang sudah bersara.
“Jadi, pesanan saya kepada doktor yang sedang mogok, berjuang untuk hak anda. Sebab mesti ada usaha daripada KKM dan kepada KKM, saya tahu, saya faham kedudukan menteri.
“Kita tak boleh setuju 100 peratus dengan tuntutan yang kita terima sebab ia mustahil. Tetapi sekurang-kurangnya tunjukkan bahawa ada kemajuan,” katanya.
Khairy turun mengesyorkan beberapa penambahbaikan lain seperti menambah elaun on call atau meningkatkan jumlah lantikan tetap tambahan daripada 1,500 kepada 2,500 orang pada setiap tahun.
Beliau berharap dengan penambahan 1,000 lagi lantikan tetap itu dapat memberi peluang kepada pegawai lantikan kontrak untuk memohon perjawatan berkenaan.
“Sekurang-kurangnya mereka akan merasai bahawa suara mereka didengari. Harapan saya adalah supaya anda tidak meninggalkan KKM.
“Saya berada di situ dengan anda walaupun singkat. Saya cuba sedaya mungkin dan saya harap kerajaan ini akan buat yang terbaik untuk anda,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE