Seorang doktor perubatan di Hospital Kemaman ditahan polis Terengganu semalam selepas dipercayai mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Wad Kanak-Kanak di hospital tersebut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, polis mendapat perintah reman terhadap suspek sehingga Khamis depan.
Menurutnya, tangkapan terhadap pegawai perubatan itu dibuat semalam, jam 1.50 tengah hari selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada malam Rabu.
“Kejadian itu berlaku ketika mangsa menerima rawatan di wad kanak-kanak hospital terbabit akibat diabetes.
“Kanak-kanak perempuan terbabit menceritakan kejadian itu kepada ibunya kira-kira jam 6 petang bahawa suspek yang merawatnya membuka baju dan meraba dada mangsa serta pegawai perubatan terbabit turut merakam gambar mangsa melalui telefon bimbit.
“Kejadian berlaku di bilik rawatan wad tersebut,” katanya.
Rohaimi berkata telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.
Katanya pihak polis percaya terdapat ramai lagi mangsa kanak-kanak perempuan, berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.
“Siasatan lanjut akan dijalankan dan rakaman percakapan saksi lain akan diambil sebagai keterangan di dalam kes ini,” katanya.
Katanya suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – JURNAL
Sumber: Harian Metro