Pakar ortopedik kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat di London, Dr Amalina Che Bakri telah diundang menghadiri majlis resepsi Raja Britain, Raja Charles III yang berlangsung di Istana Buckhingham, United Kingdom, baru-baru ini.
Menurut perkongsian Dr Amalina di akaun media sosialnya, majlis tersebut diadakan bersempena meraikan komuniti Inggeris Timur dan Asia Tenggara yang menetap di negara itu.
“Ia adalah satu penghormatan untuk bertemu Duli Yang Maha Mulia Raja Charles III dan Permaisuri Camilla Parker Bowles di Istana Buckingham mewakili Malaysia.
“Kali terakhir saya bertemu baginda pada 2017 sewaktu baginda datang melawat tempat saya bekerja iaitu Hospital Diraja London selepas tragedi serangan pengganas di London Bridge.
“Ketika itu saya merupakan doktor yang ditugaskan merawat mangsa-mangsa tercedera.
“Saya berbesar hati dapat peluang bertemu dengan ahli keluarga diraja, di samping meluaskan rangkaian kenalan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” memetik kapsyen ditulisnya.
Membaca komen-komen ditinggalkan para pengikutnya, rata-rata menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Dr Amalina kerana mendapat perhatian pemerintah benua tersebut.
Bahkan boleh dikatakan majoriti kenalannya di sosial media sependapat mengatakan Dr Amalina sememangnya layak bergelar perwakilan negara untuk urusan diplomatik bersama keluarga diraja terbabit. – JURNAL