Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerima komen negatif ketika siaran langsung di TikTok malam tadi selepas memberitahu pengkritiknya mereka mungkin dikunjungi polis.
Namun begitu, Fahmi menjelaskan kenyataan ketika siaran langsung di TikTok itu, berkata amarannya ditujukan kepada mereka yang membuat komen mengenai isu 3R (raja, kaum dan agama) dan bukan kerana kritikan.
Fahmi memberi amaran berkenaan pada penghujung sesi livenya.
MUDA antara yang lantang bersuara dan bahkan, Naib Presiden Muda Zaidel Baharuddin turut menyoal jika kerajaan hari ini telah kembali ke era Najib Razak, apabila polis kerap digunakan terhadap pengkritik.
Terdahulu, pada malam Isnin lalu, live di TikTok yang dihoskan oleh Fahmi Fadzil dari PKR berakhir dengan menteri komunikasi dan digital itu memberi amaran kepada penontonnya.
Fahmi, yang mengadakan sesi secara langsung selama lebih dua jam di platform media sosial itu dilihat menerima komen negatif termasuk mempersendakannya serta mempersoalkan banyak dasar kerajaan.
“Semua anda yang masuk dalam live saya dan mengeluarkan kenyataan ini, anda sedang dipantau oleh pihak berkuasa.
“Jangan marah saya kalau ada panggilan nanti ataupun ada radio car yang singgah di rumah anda. We are monitoring, behave yourself (Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda),” kata Fahmi. – JURNAL