Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor hari ini.
“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini,” katanya dalam satu kiriman di Facebook pada Rabu.
Presiden Bersatu itu turut memaklumkan bahawa beliau diminta hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi, hari ini (Khamis).
Beberapa portal sebelum ini melaporkan bekas perdana menteri itu ditahan SPRM sewaktu sedang bermain golf di sebuah padang golf di Selangor atas pertuduhan rasuah.
SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu, dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Program Jana Wibawa diperkenalkan ketika pentadbiran Muhyiddin dengan objektif mempercepatkan pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19. – JURNAL