Berikutan kenyataan mengenai isu kenaikan harga barang makanan yang telah disalah tafsir sesetengah pihak, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, tampil memberi penjelasan.
Rafizi menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya berkata, beliau bercakap mengenai keperluan dan cara untuk menangani masalah dari sudut pemintaan dan penawaran dalam kalangan pengguna dan peniaga.
“Bising cakap konon saya suruh berhenti makan ayam. Saya bercakap mengenai keperluan untuk sama-sama menangani demand & supply (permintaan dan penawaran) side, supaya permintaan pengguna yang lebih anjal menjadi satu kuasa untuk mempengaruhi juga kadar harga barang naik.
“Jangan bimbang we have plan (kita ada perancangan),” ciapnya.
Rafizi turut menyiarkan semula kenyataan penuh bagi menjawab kritikan terhadapnya ketika sidang media pada dua hari lalu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata untuk menangani masalah tersebut, terdapat keperluan untuk memastikan ekosistem harga barang lebih anjal.
Tambahnya, pada masa sama kerajaan mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan panjang seperti memperbaiki rantaian bekalan untuk menghentikan monopoli, kawalan harga tanpa mengganggu kelangsungan bekalan dan pelaburan berskala tinggi.
“Kita juga perlu suntik keanjalan dalam permintaan sebagai satu lagi mekanisme kawalan harga.
“Kerajaan banyak data harga yang boleh digunakan rakyat. Kita mula dengan yang ini. Insya-Allah sedikit demi sedikit kita kembalikan kuasa pengguna,” ciapnya.
Rafizi turut menafikan dia cuba melarikan diri daripada isu kontroversi yang melanda dirinya, dengan memberikan beberapa contoh seperti konflik dalaman Pakatan Harapan dalam menempuh pilihan raya umum.
“Jangan takut dengan pandangan umum. Insya-Allah rakyat yang rasional akan mula memahami dan ikut serta.
“Dalam sebulan lagi, geng-geng Perikatan Nasional yang pertikai, semua akan terduduk.
“Sama macam mereka terduduk soal-soal lain yang asalnya kontroversi tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” katanya.
Rafizi dalam sidang media Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022 baru-baru ini berkata pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal.
Bagaimanapun kenyataan itu mendapat kritikan terutama daripada penyokong PN apabila dia dikatakan mencadangkan orang ramai mengurangkan makan ayam bagi menjadikan harganya lebih anjal.
“Bercakap mengenai tak cukup ayam, by right (sepatutnya) kalau harga ayam itu dah mahal sangat, kita patut kurangkan makan,” katanya. – JURNAL