Pemilik gerai Nasi Lemak dan Nasi Kandar ‘Non Halal’, Suresh G, 38, menjelaskan tidak pernah mengelirukan sesiapa dengan perniagaannya.
Menurut Suresh, perniagaannya juga memang didaftarkan di bawah perniagaan ‘non-halal’.
“Saya bukan nak kelirukan sesiapa. Saya hanya berniaga kecil-kecilan di kedai yang memang jelas ‘non halal’.
“Logo perniagaan pun dah tunjuk gambar binatang tu. Jadi takkan ada orang yang keliru. Saya daftar pun di bawah jenis perniagaan ‘non halal’.
“Jadi, saya berasa memang tak buat salah. Bukan nak menghina atau memalukan mana-mana pihak. Tak ada niat nak sentuh mana-mana sensitiviti dan menyinggung perasaan pihak lain. Tidak sama sekali.
“Saya bukan orang pertama buat, dah banyak di kawasan KL dan PJ. Nasi lemak daging babi misalnya bukan baru. Saya pun hairan, saya yang pertama kali buat, tapi kena kecam. Semalam siap ada hubungi dan cakap nak datang jumpa,” katanya.
Terdahulu tular video dimuat naik seorang pempengaruh wanita yang mempromosikan perniagaan itu di TikTok yang berkongsi juadah nasi kandar dengan lauk babi.
Menerusi video itu turut diletakkan keterangan ‘The only stall in Malaysia to sell Indian style pork nasi kandar and nasi lemak’.
Video itu mendapat reaksi Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang kesal dengan promosi makanan itu selain menganggap ia bentuk penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia yang diketahui dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun lalu. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO