Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, menggesa selebriti dan pempengaruh Caprice menarik balik video yang mengaitkan dirinya dengan kumpulan LGBT.
Mujahid menerusi hantaran video di TikTok berkata, ini bukan kali pertama Caprice atau pemilik akaun Tiger of alQuds itu mengaitkan dirinya dengan isu tersebut.
Lantaran itu, Mujahid mahu Caprice menarik balik video yang telah dimuat naik di laman sosial TikToknya dengan kadar segera.
“Saya sempat melihat satu video TikTok yang menggelar dirinya Tiger of alQuds telah sekali lagi menimbulkan pembohongan dan fitnah, khusus ke atas saya.
“Jadi saya tak perlu nak cakap panjang, boleh tengok TikTok saya dan saya sudah jawab. Tapi kalau dia nak bercakap juga tentang benda itu dan tidak tarik balik kenyataan dan TikTok itu, saya bersedia untuk berdepan apa sahaja dengan beliau,” katanya.
Terdahulu Caprice membuat hantaran video memaparkan isu lama melibatkan Mujahid dengan menulis kapsyen “Pihak LGBT kena bersyukur pemimpin Islam dulu dan sekarang cuba bantu mereka, tak perlu protest kot.”
Menerusi paparan video, Caprice memuat naik ucapan Mujahid ketika memberi kenyataan mengenai penggunaan tandas awam oleh golongan LGBT.
Dalam hantaran sama, Caprice turut menyelitkan potongan video perhimpunan dan perarakan di Kompleks Sogo serta Dataran Merdeka, yang menjadi kontroversi baru-baru ini. – JURNAL