Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010 mengisytiharkan minggu pertama Februari sebagai Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia. Serentak itu, PBB menyeru pemerintah atau kerajaan, institusi dan masyarakat menterjemahkannya dengan pelbagai program seperti dialog antara agama serta inisiatif lain.
Dalam konteks Malaysia apakah realiti sambutan minggu keharmonian antara agama ini. Ada beberapa perkara perlu dilihat dalam menilai keharmonian antara agama di negara ini.
Pertama, pembabitan organisasi dan penyertaan masyarakat. Dalam kajian sebelum ini sekitar 2003-2005 menunjukkan organisasi Islam tidak begitu memberangsangkan berbanding organisasi bukan Islam. Dari sudut penyertaan juga menunjukkan pembabitan masyarakat Muslim amat rendah, terutama masyarakat awam.
Tahap kefahaman dan kesedaran mereka pada kepentingan dialog antara agama dalam konteks semasa adalah rendah. Oleh sebab itu ada dalam kalangan sarjana di Malaysia mula mengutarakan keperluan pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia dan bagaimana ingin merakyatkan aktiviti ini supaya masyarakat awam turut terbabit.
Perkara kedua adalah aspek pendialog atau isu ketepatan pemilihan ahli panel program dialog. Perkara ini amat penting dan menjadi fokus utama dalam banyak perbahasan.
Ia amat penting untuk diteliti kerana sebahagian besar kejayaan dialog bergantung kepada kredibiliti, kriteria, prestasi atau personaliti pendialog, terutama dialog bersifat teologi dan penyelesaian konflik antara agama.
Pendialog bukan hanya dilihat dari sudut kesamaan taraf mereka dalam sesebuah agama atau jawatan disandang dalam organisasi diwakili. Seharusnya kefahaman terhadap konsep asas dialog, latar belakang agama, pendidikan, kemahiran atau kepakaran dalam topik perbincangan turut diambil perhatian serius.
Selain berperanan merealisasikan wacana dialog, mereka juga secara langsung menjadi ejen bagi agama diwakili seterusnya memberi kesan positif, mahupun negatif terhadap hubungan antara agama.
Terdapat tiga tujuan utama dialog harus dimainkan pendialog atau ejen dialog ini:
• Pertama, meyakinkan kebenaran dan mewujudkan rangsangan untuk berfikir
Ia bermaksud dialog diadakan berteraskan unsur kepercayaan seperti teologi, doktrin serta tradisi sesebuah agama. Tujuan pertama ini memerlukan pendialog bersikap objektif, tidak bersikap prejudis, membuang sikap prasangka awal, bersikap terbuka kepada setiap maklumat diterima.
Merangsang pemikiran rasional
Al-Quran turut merakamkan dialog di antara Rasul dan umatnya seperti berlangsung di antara Nabi Ibrahim dan ayahnya seperti firman Allah dalam Surah Maryam, ayat 42-43 bermaksud:
“Ketika ia berkata kepada bapanya: Wahai ayahandaku, mengapa ayahanda menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong sedikit pun? Wahai ayahandaku. Sesungguhnya sudah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, kerana itu ikutlah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan lurus”.
Ayat di atas menjelaskan rakaman dialog ini dapat memecah kebekuan akal dan merangsang pemikiran rasional serta dapat menyerlahkan hakikat bahawa iman itu harus bertitik tolak daripada akal dengan berdasarkan kepada sumber tepat, jelas dan amat objektif. Pemahaman sebegini amat penting bagi pengamal dialog antara agama.
• Kedua, meningkatkan kefahaman terhadap realiti sebenar sesuatu agama.
Melalui proses dialog ini, setiap pendialog dan peserta akan bersikap objektif dan profesional serta melahirkan pandangan tepat, bersifat terbuka dan tidak berpihak, memerlukan penukaran kepada kebenaran, melebarkannya sehingga melahirkan unsur menghargai tradisi dan budaya sesuatu agama.
Selain itu keperluan untuk mengelakkan sifat prejudis, taasub, mengetahui dengan lebih mendalam perbezaan dan persamaan yang wujud sehingga meningkatkan kepercayaan antara penganut akhirnya dapat membina hubungan harmoni tanpa menggadaikan kepercayaan agama apatah lagi persoalan akidah khususnya pendialog Islam.
Seterusnya menjadi pemangkin utama kepada semangat persaudaraan berasaskan toleransi dan penerimaan. Oleh itu maklumat salah tafsir, konflik kefahaman dan kepentingan mengenai unsur keagamaan yang wujud dalam setiap agama akan dapat dikurangkan.
• Ketiga: Mewujudkan konsep keamanan sejagat
Tujuan ini meliputi aspek keamanan, kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran harus dinikmati seluruh manusia dalam pelbagai bidang kehidupan.
Ia selari dengan firman Allah bermaksud: “Wahai manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Arif”. (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Ibn Kathir dan al-Razi dalam tafsirnya menerangkan ayat ini menekankan kepada kesepaduan umat Islam berbilang bangsa dan etnik serta matlamatnya didasarkan kepada takwa kepada Allah. Ia juga sesuai untuk diaplikasi dalam konteks masyarakat berbilang agama.
Kerjasama pelbagai aspek kehidupan
Oleh itu, perkataan ‘kenal-mengenal’ dapat diperluaskan supaya maksudnya meliputi hubungan kerjasama dalam pelbagai aspek kehidupan seperti memelihara keamanan dan keadilan sejagat, memupuk kasih sayang, hubungan persaudaraan dan toleransi serta meningkatkan mutu kehidupan masyarakat dalam pelbagai aspek.
Dengan berlandaskan kepada latar belakang sejarah ringkas, realiti semasa serta transformasi pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia, termasuk tujuan utamanya, maka sudah pasti isu antara agama atau konflik agama pasti dapat diuruskan dengan baik.
Maka, dengan ini matlamat PBB menggalakkan penyuburan Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia bukan sekadar dilaksanakan pada Februari setiap tahun, tetapi dijadikan dasar negara melalui platform dialog antara agama.
Ini penting supaya sebarang isu mahupun konflik antara agama dapat diselesaikan dengan cara paling harmoni untuk pembangunan sesebuah negara tanpa menggadaikan kefahaman agama mahu pun akidah.
Penulis adalah Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN