Gara-gara membalas dendam kesumat yang dipendam selama enam tahun terhadap jirannya setelah menyaksikan lelaki terbabit merogol ibunya, Maulud Riyanto reda berdepan hukuman penjara selama 13 tahun.
Demi mempertahankan maruah ibunya, Maulud tekad untuk menamatkan riwayat perogol tersebut dengan mengatur satu perancangan rapi sejak usianya 14 tahun.
“Saya simpan kesumat melihat dia meratah ibu. Ketika itu masih sekolah rendah.
“Kemudian ketua kampung dan beberapa orang datang ke rumah untuk minta berdamai walaupun jelas kami dianiaya si pelaku,” katanya.
Mengikut rancangannya, dia menunggu waktu sesuai untuk mendekati lelaki itu, sebelum mengambil kesempatan yang dimiliki dengan menumbuk berkali-kali di bahagian rusuk kiri pelaku sehingga parah.
Selepas puas melepaskan tumbukan demi tumbukan, Maulud terus melarikan diri meninggalkan lokasi tersebut, namun berjaya ditahan polis kira-kira 10 jam dari masa kejadian.
Bagaimanapun, penduduk kampung yang menyaksikan penahanan remaja berkenaan cuba sedaya upaya membela tindakan Maulud, malah menyanjunginya kerana menjadi hero.
Namun segala usaha penduduk yang simpati dengan nasibnya ternyata sia-sia, dek jenayah dilakukan Maulud, hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kampung pedalaman terletak di Jawa Barat, Indonesia. – JURNAL