Tidak pasti sama ada degil atau tidak peka memandangkan masih ada segelintir yang mengunjungi Hutan Lipur Ulu Bendul Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menerusi perkongsian di laman Twitter, pusat rekreasi tersebut dilaporkan masih meriah dengan kehadiran orang ramai bermandi manda tanpa menghiraukan amaran dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Perkongsian tersebut turut memaklumkan kawasan itu ditutup buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh dan risiko berlakunya kepala air.
Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan kekesalan terhadap sikap tidak cakna sesetengah individu yang pentingkan diri sendiri.
“Orang degil macam ni, kalau apa-apa jadi, tak payah simpati! They don’t deserve it. Kalau tak aktif di media sosial sekali pun, Allah kurniakan akal. Dah tahu musim hujan, macam-macam bencana alam boleh terjadi. Kalau tak mahu guna akal, sedekah dekat haiwan.
“Ni semua spesis perangai bangsat menyusahkan orang lain, jenis menggelupur tak boleh duduk diam di rumah. Bila terjadi benda buruk, mulalah masing-masing nak menghiba! Benda pilihan sendiri.
“Musim hujan tak payahlah gigih nak camping bagai. Duduk rumah pun boleh spend quality time dengan family. Kalau jadi apa-apa, susahkan bomba lagi.
“Kasihanilah front liner. They already have enough on their plate. Janganlah degil sangat. Malang tak berbau!” memetik beberapa komen dititipkan pengguna Twitter.
Sementara itu, ciapan akaun Twitter milik agensi berita Bernama turut menguar-uarkan notis penutupan serta pemasangan tali amaran di Taman Ular Ulu Bendul dan laluan masuk ke Gunung Angsi melalui jalan lama Bukit Putus.
Difahamkan, pihak berkuasa tempatan menutup kawasan itu sehingga ke satu tarikh yang akan dikemaskinikan kelak. – JURNAL