Wetland Studios Putrajaya, taman tema didik hibur yang popular di Malaysia secara rasminya membuka aras bawah tanah kompleks tersebut yang dinamakan sebagai “Deep Sea Treasures”.
Dengan tarikan terbaru ini, maka lengkapkan pengalaman “immersive” para pengunjung dengan pameran-pameran spesis hidupan di laut, darat dan udara.
“Deep Sea Treasures” terbahagi kepada tiga zon pameran iaitu “Marine Monsters”, “Sam’s Water World” dan “Ocean Jewels” di mana pengunjung dapat menyelami khazanah dan mendalami ilmu mengenai spesis lautan yang menakjubkan!
“Di laut dalam, terdapat dunia yang penuh dengan spesis hidupan yang luar biasa. Namun, kadangkala kita secara tidak sengaja memudaratkan mereka.
“Justeru adalah penting bagi kita mempelajari cara menjaga air di tanah lembap, sungai dan laut.
“Dengan pelancaran ‘Deep Sea Treasures’, naratif kami kini lengkap untuk berkongsi maklumat melalui pengalaman unik untuk mendapatkan penglibatan pelbagai pihak dalam mempromosikan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar,” ujar Datuk Norman Abdul Halim, Pengerusi Eksekutif, Wetland Studios Sdn Bhd.
Tarikan utama di ‘Deep Sea Treasures’ adalah ‘Titan of The Deep’ yang pertama di Malaysia dan juga pameran Megalodon terbesar di Asia Tenggara, haiwan pemangsa yang telah pupus serta spesis-spesis lautan pra-sejarah seperti Mosasaurus, Ichthyosaur, Plesiosaurus, dan Dunkleosteus; kisah penceritaan seekor penyu bernama Sam tentang peranan air dalam eko- sistem kehidupan serta pameran hidupan marin yang dihablurkan yang pasti akan menimbulkan keterujaan pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu Pengarah Urusan Wetland Studios Sdn Bhd, Datuk Yong Lam Woei berkata, pengunjung ditawarkan dengan teknologi IR 4.0 untuk pengalaman yang lebih mengujakan.
“Kelebihan utama kami adalah menawarkan pengalaman pengunjung melalui pembangunan kandungan didik hibur immersive dengan teknologi IR 4.0, digabungkan dengan perkhidmatan cemerlang dari Rangers, kru hospitaliti kami.
‘Deep Sea Treasures, mempamerkan spesies marin prasejarah dan masa kini dalam bentuk animatronik dan replika dengan maklumat yang disampaikan secara menghiburkan oleh watak animasi melalui sistem audio dan video kami.
Sejak pelancaran fasa pertama Wetland Studios pada 26 Mei 2023, kami telah menerima kunjungan lebih 4,000 murid pra-sekolah dan sekolah rendah dari serata tanahair.
Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk menjadi peneraju ‘Edutourism’ dan hospitaliti di Malaysia.
Wetland Studios Putrajaya dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 7 malam setiap hujung minggu, cuti awam dan cuti persekolahan; dan dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang bagi hari bekerja.
Untuk maklumat lanjut mengenai Wetland Studios Putrajaya, sila layari www.wetlandstudios.com dan ikuti akaun-akaun media sosial wetlandstudios.putrajaya. – JURNAL