Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 13 kompaun dalam Operasi Anti-Litter (anti-sampah) terhadap pemilik premis perniagaan yang beroperasi di sekitar Desa Pandan di sini.
DBKL dalam kenyataannya, berkata kakitangan Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, DBKL melakukan operasi itu kelmarin.
Katanya, empat kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 46(1)(d) atas kesalahan meletak meletakkan barang-barang niaga di tempa awam.
“Selain itu, tiga kompaun mengikut Seksyen 47(1)(a) atas kesalahan meletak, membuang, membenar, menyebab, diletak, dibuang habuk-habuk, kertas, abu, bangkai, sampah kotak, tong karung, lain-lain sampah sarap di tempat awam.
“Enam kompaun lagi dikeluarkan di bawah Seksyen 47(1)(d) atas kesalahan membuang sisa kotoran ke dalam longkang awam,” katanya menurut hantaran itu.
DBKL mengingatkan kepada semua peniaga di luar sana supaya menjaga kebersihan kerana ia adalah salah satu tanggungjawab peniaga dalam menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.
“Janganlah suka mengambil sikap sambil lewa dalam menjaga kebersihan di premis perniagaan anda,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN