Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir di Johor.
Timbalan Perdana Menteri berkata banjir di negeri itu adalah antara yang terburuk pernah dihadapi negeri berkenaan.
Beliau berkata peruntukan berkenaan untuk membeli peralatan dan bantuan tambahan kepada mangsa terjejas yang semakin meningkat di pusat penempatan sementara (PPS).
Beliau berkata, keadaan banjir di Johor dan beberapa negeri lain semakin buruk berikutan perubahan iklim akibat fenomena global namun kerajaan perlu bersedia dari sekarang untuk membantu rakyat.
Apatah lagi katanya, mengikut laporan antarabangsa, aktiviti pemanasan global akan menyebabkan kebanyakan pulau kecil yang berada di lautan seluruh dunia termasuk Laut China Selatan akan berada di bawah paras bawah laut dan tenggelam pada 2050.
“Selain itu, punca banjir di Johor yang buruk kali ini disebabkan luruan hujan yang sangat luar biasa.
“Ia menyebabkan paras air di sungai-sungai utama meningkat mendadak berikutan hujan luar biasa selain hujan dari kawasan Pahang yang mengalir ke sungai-sungai negeri ini.
“Saya luluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bencana banjir di Johor yang sudah disalurkan kepada NADMA.
“Saya sudah mengarahkan NADMA membuat pembelian segera membabitkan selimut, bantal dan tilam berikutan peralatan itu mengalami kekurangan di PPS di sini dan serahkan segera kepada Jawatankuasa Banjir Daerah untuk digunakan mangsa,” katanya.
Keadaan banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsanya dilaporkan Mangsa banjir terus melonjak kepada 28,099 orang terdiri daripada 7,805 keluarga di 197 PPS , setakat jam 4 petang tadi.
Banjir ketika ini disifatkan paling buruk pernah dihadapi negeri itu selepas 17 tahun menghadapi bencana banjir besar pada 2006, yang mengakibatkan lebih 100,000 penduduk negeri ini terjejas.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, supaya mengerakkan pegawai dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari negeri lain untuk membantu Johor.
Katanya, ia berikutan kekurangan pegawai dan anggota JKM bagi membantu menguruskan bencana banjir di Johor.
“Saya tahu pegawai dan anggota JKM Johor bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di semua PPS dibuka di negeri ini, namun berikutan keadaan banjir di sini yang semakin buruk ia memerlukan bantuan tenaga kerja.
“Oleh itu, saya sudah menghubungi Nancy bagi memobilasi pergerakan pegawai dan anggota JKM dari negeri lain ke Johor,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, peruntukan untuk projek jangka pendek sebanyak RM7.6 juta akan disalurkan bagi meningkatkan sistem perparitan di pusat bandar Kota Tinggi dan Kota Mas.
“Selain itu, sebanyak RM15 juta akan diperuntukan untuk kerja melebarkan Sungai Lalang, bagi menampung hujan luar biasa dan limpahan air hujan dari daerah lain dan jika berlaku peningkatan paras air laut.
“Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pemandi yang bernilai RM25 juta pula kini di dalam proses tender.
“Bagi jalan yang agak rendah dari Kota Tinggi ke Mersing yang sering dinaiki air bah, ia memerlukan peruntukan RM120 juta dan perlu perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya.
“Terakhirnya, untuk projek jangka panjang Kota Tinggi memerlukan RM380 juta untuk RTB Sungai Johor yang akan dimasukkan dalam RMK ke-15,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH Online