Pelaksanaan dasar penginapan minimum 23 jam sehari oleh kerajaan dijangka meningkatkan harga bilik hotel, menurut Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh.
Beliau menyatakan bahawa dasar ini akan membawa kepada peningkatan kos operasi, yang berkemungkinan diterjemahkan kepada kenaikan harga bilik.
“Hotel sudah berdepan dengan kenaikan kos operasi, termasuk pelaksanaan gaji minimum baharu pada Februari 2025. Tekanan kewangan tambahan ini hanya akan membebankan lagi industri yang kini sedang bergelut,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadangan ini timbul selepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pengusaha hotel menyelaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi memberi waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari, seperti yang dipraktikkan di luar negara.
Namun, Christina berpendapat cadangan ini tidak praktikal dan membawa cabaran besar kepada hotel, terutamanya dari segi kebersihan dan kualiti bilik.
“Mengharapkan bilik dibersihkan dalam masa satu hingga dua jam, terutamanya semasa musim puncak atau ketika kadar penghunian tinggi, pasti akan menjejaskan tahap kebersihan, keselamatan, dan kualiti,” jelasnya.
MAH juga menegaskan bahawa isu kekurangan tenaga kerja dalam industri perlu diatasi terlebih dahulu sebelum memperkenalkan dasar baharu seperti ini.
Christina turut menyeru kerajaan memberi perhatian kepada isu lain yang membebankan industri, seperti pengawalseliaan sewa jangka pendek dan kos utiliti yang meningkat.
“Menyelesaikan kekurangan tenaga kerja adalah lebih penting sebelum melaksanakan dasar penginapan 23 jam,” tambah Christina. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian