Pelakon Nynaa Harizal akui teruja untuk menerokai kerjaya baharunya sebagai seorang ahli perniagaan selepas ini.
Sejajar dengan potensi pasaran industri kecantikan yang semakin banyak menyaksikan dominasi jenama keluaran tempatan di Malaysia, selebriti Nynaa Harizal bijak memanfaatkan peluang untuk mula berjinak dalam dunia perniagaan.
Nynaa memilih untuk membina empayar kosmetik menerusi jenamanya sendiri, ‘Her Beauty’ yang dilancarkan secara rasmi di sebuah majlis sidang media tertutup yang diadakan pada semalam (Selasa).
“Secara jujurnya, saya teruja dalam masa sama gementar untuk memulakan perniagaan ini, tambahan lagi bidang ini sangat baru buat diri saya.
“Saya tahu bergelar usahawan juga bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya percaya dengan sokongan semua impian untuk berjaya dalam bidang ini akan terlaksana. Kalau boleh saya mahu pergi lebih jauh.
“Sebagai pemain baharu dalam industri kecantikan, kami berhasrat untuk mengembangkan misi perniagaan dan potensi ‘Her Beauty’ ke aras tertinggi menerusi pelbagai strategi untuk rangka promosi yang lebih meluas sudahpun dirancang dan akan dijalankan secara berperingkat untuk mempromosikan jenama kami,” katanya.
Membuka langkah pertama sebagai usahawan dalam bidang kosmetik, Nynaa telah memperkenalkan produk rawatan bibir intensif pertamanya, Fire & Ice Lip Booster Serum.
“Dicipta dengan teknologi tinggi, Lip Booster ini juga bertindak sebagai plumper bagi memberi solusi bibir mungil berseri dengan efek anjal serta-merta kepada pengguna.
“Saya sendiri sudah mencubanya selepas melalui semua proses penyelidikan dan pembangunannya. Selepas berpuas hati dengan hasilnya barulah kami putuskan untuk dijual kepada orang ramai pula.
“Yang penting selepas ini tak perlu lagi munggilkan bibir dengan suntikan botox! Lebih selamat menggunakan Lip Booster ini, tanpa jarum, selamat dan tidak sakit,” katanya.
Nynaa ditemui pada pada majlis pelancaran Her Beauty di The Face, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Buat julung kalinya juga, tayangan perdana iklan televisyen komersial ‘Her Beauty’ yang diterbitkan khas sebagai strategi pemasaran bagi mempromosikan produk kosmetik Fire & Ice Lip Booster Serum turut dipertontonkan kepada barisan media secara rasminya sewaktu majlis pelancaran tersebut.
Menurut Nynaa yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ‘Her Beauty’ kajian terperinci sudah dijalankan untuk mengenal pasti pasaran.
“Seperti yang kita tahu, maklumat dan data merupakan elemen yang paling penting sebelum menceburi bidang perniagaan khususnya yang membabitkan produk kecantikan kosmetik.
“Oleh itu, kami terlebih dahulu sudah pun membuat kajian terperinci untuk mengenal pasti pasaran dan pelanggan sasaran supaya produk yang dihasilkan selari dengan permintaan semasa dan tidak bersifat ‘syok’ sendiri.
“Melalui pengamatan kami sewaktu masih dalam fasa ‘market research’ untuk jenama ‘Her Beauty’, kami dapati trend pelanggan di Malaysia kini cenderung untuk memilih produk keluaran tempatan yang menawarkan kualiti tinggi dengan harga berpatutan.
“Ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap jenama dan produk lokal semakin meningkat. Ini juga membuktikan kualiti produk lokal dilihat sudah setanding dengan produk antarabangsa.
“Oleh itu, kami merasakan ini merupakan waktu terbaik untuk melancarkan produk pertama keluaran ‘Her Beauty’ iaitu Fire & Ice Lip Booster Serum untuk bersaing secara sihat dengan produk sedia ada di pasaran,” katanya.
Produk rawatan bibir Fire & Ice Lip Booster Serum boleh dibeli menerusi laman web rasmi di www.herbeauty.com.my atau platform media sosial Instagram @myherbeauty atau Tiktok @myherbeauty ataupun melalui ejen dan stokis berdaftar. – JURNAL