Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengurangkan tempoh menunggu di klinik kerajaan daripada tiga jam kepada hanya 30 minit menerusi pelaksanaan transformasi digital kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan ini adalah hasil tekad dalam mendigitalisasikan perkhidmatan utama di klinik penjagaan primer.
“Kita sudah pun mendigitalisasikan perkhidmatan utama, mengurangkan waktu menunggu di klinik penjagaan primer utama dari tiga jam kepada hanya 30 minit.
“Pada awal tahun ini saja, jumlah klinik yang terlibat meningkat sebanyak 48.6 peratus. 2025 adalah tahun pelaksanaan. Masa untuk menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya menerusi hantaran di platform X semalam.
Beliau juga menegaskan bahawa strategi ‘satu individu satu rekod’ akan menjadi teras kepada transformasi ini, di mana rekod perubatan elektronik (EMR) akan digunakan di semua fasiliti kesihatan untuk meningkatkan aksesibiliti, keselamatan dan kecekapan perkhidmatan.
KKM turut memberi tumpuan kepada penyelarasan sistem digital di antara fasiliti kerajaan dan swasta bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih lancar dan berkesan di seluruh negara. – Jurnal