Dakwaan pelakon, Farid Kamil, 42, bahawa wujud orang ketiga hingga membawa kepada keretakan rumah tangganya dengan Diana Danielle, 32, hanyalah alasan semata-mata.
Peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, sebelum ini perkara itu tidak pernah dibangkitkan.
“Semua itu hanya alasan saja. Sebelum ini tidak pernah bangkit pun tapi selepas fail kes (cerai) baru semua benda ini keluar. Tapi biar mahkamah membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, Akberdin berkata, Diana sudah memperoleh perintah hadanah (hak penjagaan anak-anak) secara interim daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Jumaat lalu.
“Pihak kami memfailkan hadanah itu pada Khamis dan mahkamah membenarkan permohonan Diana, Jumaat lalu. Namun, tiada halangan untuk Farid berjumpa dengan anak-anaknya,” katanya.
Sebelum ini, Farid dalam prosiding terdahulu mendakwa dirinya tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya sejak awal bulan ini.
Dalam tempoh sama, difahamkan pelakon utama filem Anwar : The Untold Story itu juga tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya hampir 23 hari.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama sebenarnya Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
BACA: “Anak Guam Saya Bayar Sewa, Dia Ada Hak Halang Suami Masuk Rumah”- Peguam Diana Danielle
Farid dan Diana berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup selama sedekad, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – JURNAL
Sumber: Harian Metro