Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah.
Anwar berkata sebagai seorang Menteri Besar, Muhammad Sanusi seharusnya memahami Perlembagaan dan terikat dengan aspek perundangan.
Tegas beliau, setiap pemimpin juga perlu menghormati perjanjian Perlembagaan yang telah diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah dalam isu berkenaan.
“Kadang-kadang bila seorang pemimpin berucap dia kena faham Perlembagaan, dia kena faham perjanjian.
“Walaupun ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, dia ada perjanjian terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas.
“Nak ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain tetapi sebagai seorang Menteri Besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Pada Isnin lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.
Beliau berkata Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.
Ditanya adakah Kedah mahu mengambil kembali Pulau Pinang, Muhammad Sanusi berkata pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah. – JURNAL
Sumber: ASTRO AWANI